14.4.14

Tips Untuk Elak Nafas Berbau

Pakar Pembedahan Pergigian, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Naseem Banu Sadruddin mendedahkan nafas berbau merupakan simptom awal seseorang itu menghidap penyakit dalaman atau sebaliknya.

Sekiranya masalah tersebut bukan terhasil daripada penyakit dalaman seperti tonsil, resdung, sakit tekak, selesema, demam, kencing manis, penyakit hati, penyakit buah pinggang, kanser mulut dan sebagainya, ia adalah berpunca dari bakteria yang berkumpul di dalam mulut akibat penjagaan oral yang tidak betul.

Oleh sebab itu Dr. Naseem Banu menasihatkan, individu yang mengalami masalah nafas berbau perlu menjalani pemeriksaan sebelum boleh diklasifikasikan sama ada ia hanya disebabkan penjagaan oral yang tidak betul atau berpunca daripada penyakit dalam badan.

 Bau juga terhasil daripada proses pereputan sisa-sisa makanan yang terselit di antara gigi dan gusi.

Oleh itu penjagaan oral dengan betul adalah penting untuk memastikan nafas sentiasa segar dan tidak berbau.

Kita tidak perlu bersusah payah memberus gigi atau berkumur dengan pencuci mulut setiap kali habis makan sebaliknya cukup sekadar berkumur dengan air bersih dengan cara yang betul.

Sekiranya ingin memberus gigi juga selepas makan, disyorkan dilakukan 30 minit selepas itu. Memberus gigi dua kali sehari sudah memadai.

Pembersihan lidah juga penting kerana kebanyakkan bakteria busuk suka berada pada penghujung lidah. Bersihkan lidah dengan menggunakan berus gigi tetapi dengan cara yang lembut.

Berikut beberapa tips dari Dr. Naseem Banu untuk menyegarkan kembali nafas.

Pengambilan yogurt (yang masam) kerana ia mengandungi vitamin D dan boleh melawan bakteria yang mengakibatkan nafas berbau.

Penggunaan daun sirih yang mengandungi klorofil dapat menyegarkan nafas jika dimakan secara konsisten, tidak ketinggalan mengunyah beberapa helai daun kari dan juga daun pudina.

Berkumur dengan air suam yang telah dicampurkan dengan serbuk penaik (tulen yang tidak dicampur dengan bahan kimia) selama 30 saat. Ini kerana kandungan serbuk penaik mampu menyeimbangkan asid yang terkandung dalam badan dan seterusnya menyegarkan semula pernafasan.

Makanan merupakan punca utama nafas berbau. Makan makanan yang segar dan asli dapat mengelak masalah nafas berbau.

1.4.14

10 Tanda Awal Penyakit Yang Perlu Diberi Perhatian

Sakit, tentunya setiap insan ingin menghindari dan inginkan kesihatan yang baik setiap masa. Untuk mendapat kesihatan yang baik tanda-tanda kesakitan perlu diberi perhatian sewajarnya sekiranya berlaku. Jangan menganggap tanda-tanda awal sakit yang datang itu sebagai "biasa-biasa" yang tak perlu diendahkan.

1.Berat badan turun secara tiba-tiba
Mungkin sesetengah orang akan gembira sekiranya berat badan mereka turun tanpa mereka sendiri usahakan. Namun, pada kenyataannya ia adalah petunjuk terhadap masalah kesihatan. Sekiranya berat badan anda turun sebanyak 10 peratus daripada berat asal secara tiba-tiba pada 6 bulan yang sebelumnya, anda perlu untuk mendapatkan nasihat doktor. Penurunan berat badan secara tiba-tiba mungkin disebabkan oleh beberapa punca antaranya tiroid terlalu aktif (hyperthyroidism), tekanan, penyakit hati, kanser, atau gangguan terhadap tubuh anda untuk menyerap nutrisi.

2.Demam panas
Ketika anda demam, ia bermakna tubuh anda sedang cuba untuk melawan jangkitan virus atau bakteria jahat. Demam biasa kebiasaannya pada sekitar lebih 38.9 C. Sekiranya demam anda telah melebihi 3 hari, anda perlu pergi berjumpa doktor. Demikian pula sekiranya anda mengalami demam panas melebihi daripada 40 C, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera. Demam panas berkemungkinan menunjukkan bahawa anda telah menghidap jangkitan kuman pada saluran air kencing, denggi atau sebagainya.

3.Sesak nafas
Sekiranya sesak nafas berpunca selain daripada hidung tersumbat, ia adalah satu isyarat yang menunjukkan masalah kesihatan. Jika anda menghadapi kesukaran untuk bernafas, termengah-mengah atau tercungap-cungap, anda perlu mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera. Berasa sesak nafas ketika anda berbaring juga samaada teruk atau tidak perlu diberi perhatian yang serius. Punca sesak nafas mungkin disebabkan penyakit paru-paru obstruktif kronik, asma, radang paru-paru-paru, penggumpalan darah di paru-paru, atau apa-apa sahaja penyakit yang melibatkan jantung dan paru-paru. Kesukaran untuk bernafas perlu diberikan perhatian yang secukupnya kerana ia boleh menyerang mangsa pada bila-bila masa sahaja.

4.Perubahan ketika membuang air besar
Ramai yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan normal ketika membuang air besar. Ianya berbeza-beza mengikut individu dan sekiranya mereka membuang air besar antara 3 kali sehari ke 3 kali seminggu ia masih dianggap normal. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengesan perubahan seperti najis keluar beserta dengan darah, sembelit yang lebih daripada 3 minggu, anda perlu memaksa untuk membuang air besar, najis anda berwarna hitam dan segala perubahan lain. Pada kebiasaannya perubahan yang berlaku mungkin isyarat jangkitan bakteria seperti campylobacter ,salmonella,jangkitan virus atau parasit. Antara penyebab yang lain juga adalah penyakit radang usus atau kanser usus besar.

5.Igauan
Ianya adalah kebingungan parah yang berlaku secara tiba-tiba dan perubahan yang cepat dalam keadaan mental. Teman dekat atau ahli keluarga adalah orang yang paling awal sekali untuk mengesan pengidap penyakit ini. Antara tanda-tanda penyakit mental ini adalah secara tiba-tiba anda menjadi konfius, kecelaruan(konfius terhadap tempat dan masa), tiba-tiba keperibadian atau perilaku berubah seperti menjadi agresif, tiba-tiba masalah untuk memberikan penumpuanun, atau memori, dan sebagainya. Perubahan perilaku atau pemikiran mungkin berpunca daripada pelbagai masalah antaranya termasuk jangkitan, anemia, gula darah rendah, masalah jiwa atau ubat-ubatan, terutama yang anda baru sahaja mula mengambilnya.

6.Sakit kepala secara tiba-tiba
Sakit kepala yang biasa pada kebiasaannya tidaklah terlalu serius, tetapi ia akan menjadi serius sekiranya kesakitan yang dialami terlalu sakit sehingga di luar kawalan anda. Anda perlu memberikan perhatian yang lebih sekiranya anda mengalami sakit kepala disertai dengan demam, leher kaku, ruam, kebingungan atau kejang, Sakit kepala berpola baru dari selepas usia 55, dan apa-apa sahaja yang anda rasakan di luar pada kebiasaan. Tanda sakit kepala mungkin menunjukkan bahawa anda mempunyai arteritis temporal, peradangan pembuluh darah di otak, kulit kepala dan mata. Punca lain yang berkemungkinan menyebabkan sakit kepala yang teruk adalah termasuk tumor otak atau aneurisma.

7.Tiba-tiba badan anda menjadi lemah, penglihatan menjadi pudar, atau menghadapi kesukaran untuk bercakap
Jika anda mempunyai tanda-tanda atau gejala seperti yang dinyatakan untuk beberapa minit, ia adalah peringatan awal tanda-tanda stroke atau serangan iskemik transient (TIA), kadang-kadang disebut sebagai ministroke. Cari rawatan kecemasan perubatan jika anda mengalami kelemahan atau mati rasa pada satu sisi tubuh secara tiba-tiba, keremangan mendadak, kabur atau kehilangan penglihatan, tidak mampu untuk bercakap atau memahami percakapan orang lain, berasa pening, tidak dapat dapat berdiri dengan kukuh atau tiba-tiba jatuh, sakit kepala yang teramat sangat atau sebagainya.

8.Silauan cahaya
Sekiranya anda tiba-tiba melihat sebuah lampu berkelip-kelip walaupun pada realitinya tidak, ia mungkin menunjukkan masalah terhadap retina anda. Rawatan segera perlu dilakukan untuk mengelakkan kehilangan penglihatan kekal.

9.Cepat berasa kenyang walaupun makan hanya sedikit
Ini kadang-kadang merupakan satu perkara normal, tetapi sekiranya masalah ini berlaku selama lebih daripada satu minggu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor dengan segera. Ini mungkin disertai dengan tanda  lain seperti mual, muntah-muntah, kembung, demam, dan kehilangan berat badan. Kemungkinan punca kenyang awal termasuk rasa mulas dan masalah terhadap sistem perkumuhan, atau masalah yang lebih serius seperti obstruksi perut,kanser kerongkong atau masalah perut.

10.Sendi membengkak, kemerahan atau berasa panas
Jika salah satu sendi membengkak atau meradang, mungkin ia sebagai isyarat jangkitan sendi, yang memerlukan rawatan kecemasan. Punca lain mungkin termasuk gout atau beberapa jenis arthritis. - Fanpage Khas Untuk Jejaka@Lelaki

31.3.14

10 Tanda Awal Kanser Pankreas

Pancreatic cancer. Kanser pankreas yang semakin banyak dikesan sejak akhir-akhir ini. Pada peringkat awal kanser pankreas biasanya tidak menunjukkan simptom kepada pesakitnya dan ia biasanya dikesan apabila telah berada pada peringkat bahaya.

Doktor selalunya membuat pertimbangan yang pesakit kanser pankreas dijangka boleh meneruskan hidup dalam masa 5 tahun dan hanya 4% yang boleh bertahan melebihi 5 tahun.

Bidang perubatan menyebut bahawa bahagian hujung organ pankreas mengandungi sel yang menghasilkan insulin dan di bahagian pangkal organ pankreas pula mengandungi sel yang menghasilkan enzim penghadaman. Jika tumor terdapat di sel yang menghasilkan insulin, ia dikenali sebagai tumor endokrina yang mudah dikesan tetapi agak jarang terjadi. Tumor yang terdapat di sel yang menghasilkan enzim penghadaman pula dikenali sebagai tumor eksokrina yang kerap terjadi tetapi agak sukar dikesan pada peringkat awalnya.

Oleh itu bagaimana pula kita hendak mengetahui tanda amaran awal bagi kanser pankreas?

Kita akan berkongsi beberapa tanda amaran awal kanser pankreas yang boleh dikesan. Jika terdapat dua atau tiga daripada tanda-tanda berikut, silalah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Di antara tanda-tanda awal ialah apabila pesakit mempunyai atau mendapat:

1. Diabetes secara mendadak

Tumor pankreas ini boleh menyebabkan pesakit kanser mendapat diabetes secara tiba-tiba/mendadak

2. Mata dan kulit menjadi semakin kuning

Tumor pankreas adalah penyebabnya. Walaupun bersaiz kecil, ia boleh menutup atau menyumbat duktus hempedu yang terletak di bahagian pangkal pankreas yang menyebabkan air hempedu berkumpul di situ kerana tersekat. Ini juga boleh menyebabkan jaundice (sakit kuning).

3. Gatal di bahagian kulit, tapak tangan dan tapak kaki

Kesan sampingan jaundice yang biasa ialah gatal-gatal di tapak tangan dan tapak kaki disebabkan oleh reaksi kulit terhadap bilirubin (bahan kimia berwarna coklat kekuningan di hati yang menyebabkan jaundice).

4. Kurang selera makan


Kebiasaannya 6-8 bulan sebelum tumor pankreas dapat dikesan, pesakit kanser ini tiba-tiba hilang selera makan dan akan cepat berasa kenyang walaupun selepas makan sedikit.

5. Perubahan deria rasa

Pesakit kanser pankreas bertukar deria rasa yang biasa. Contohnya, mereka tiba-tiba tidak suka bau kopi, rokok, atau lain-lain yang sebelum itu disukainya.

6. Sakit perut

Rasa sakit perut ini terasa sehingga ke bahagian belakang badan. Rasa sakit ini akan hilang apabila badan ditundukkan ke depan.

7. Pundi hempedu membesar

Pundi hempedu pesakit kanser ini akan membesar disebabkan oleh duktus hempedu yang tersumbat di mana hempedu akan membengkak/membesar di belakang duktus ini. Pundi hempedu yang membesar dapat dirasai oleh doktor yangmerawat pesakit dan juga boleh dilihat pada ujian imej.

8. Najis yang pucat, terapung dan berbau busuk

Ini disebabkan tumor pankreas menghalang enzim penghadaman sampai ke pangkal usus bagi proses penghadaman lemak. Jadi, makanan berlemak tidak dapat dihadamkan yang akhirnya najis yang dihasilkan tidak padat, ringan, berbau dan terapung kerana kandungan lemak yang tinggi.

9. Najis hitam dan berdarah

Ia adalah disebabkan oleh pendarahan di bahagian atas usus.

10. Turun berat badan secara mendadak tanpa dirancang

Ini berlaku disebabkan oleh kurangnya enzim pankreas yang dihasilkan bagi menghadamkan lemak yang diperlukan sebagai sumber tenaga. Lemak hanya melalui sistem penghadaman tanpa proses penghadaman.